RAWANG: Perodua mengekalkan kedudukannya untuk tahun kelima berturut-turut di kalangan syarikat kereta di Malaysia apabila meningkat 13 peratus dan rekod jualan 188,600 unit tahun lalu dengan model MyVI muncul sebagai model jualan terlaris.
Pengarah Urusan Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh, berkata dalam proses itu, ia menguasai 31.2 peratus kepentingan pasaran kereta negara.
"Jualan tahun lepas didorong oleh permintaan menggalakkan untuk kereta kompak mampu milik berbanding 166,700 unit yang dijual pada 2009," katanya.
Beliau berkata, jualan rekod syarikat sebelumnya iaitu 176,400 unit dan penguasaan pasaran 30.5 peratus telah dicapai pada 2008.
"Kami memecahkan dua rekod pada 2010 -- pertama dengan jualan tahunan tertinggi pernah dicatatkan dan Disember lepas, Perodua mencapai pendaftaran jualan bulanan tertinggi sebanyak 19,400 unit, mengatasi rekod sebelum ini 18,500 pada Mac 2010," kata beliau dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, MyVI muncul sebagai model paling laris di Malaysia tahun lalu dengan 77,700 unit dijual, ALZA kenderaan pelbagai guna paling laris dengan jualan 42,000 unit sementara Viva mencatatkan jualan 69,000 unit.
"Buku tempahan kami kekal menggalakkan dan kami yakin dapat mengekalkan momentum itu tahun ini," katanya.
Sementara itu, pada sidang akhbar, Aminar berkata, Perodua mensasar menjual 195,000 unit kenderaan tahun ini, dipacu oleh jualan MyVI, ALZA dan Viva.
"elancaran model baharu tahun ini akan turut merancakkan jualan," katanya.
Menyentuh tinjauan masa depan industri, beliau berkata, jumlah industri untuk tahun ini sama ada tidak akan berubah, atau meningkat sedikit daripada anggaran 605,000 unit yang dijual pada 2010.
"Tahun lepas merupakan tahun yang baik untuk kebanyakan syarikat pengeluar dan tahun ini, kami menjangkakan sama ada ia mendatar ataupun meningkat sedikit," kata beliau.
Sumber: BERNAMA