Wednesday 13 July 2016

PANDU UJI PERODUA BEZZA 2016


Kita sudah sedia maklum sebelum ini bahawa pihak Perodua akan mengeluarkan model sedan pertama mereka pada keluaran kali ini. Sebenarnya, Perodua sudah lama membangunkan model sedan ini cuma kita sahaja yang tidak tahu kerana pihak Perodua berjaya merahsiakan cerita mengenai pembuatan kereta sedan pertama mereka dari dihidu oleh pihak media dan juga paparazi kereta. Bagaimana mereka merahsiakan perkara ini? Untuk pengetahuan semua, model sedan ini telah dibangunkan di jepun, ianya telah diuji disana dan disebabkan itulah kita tidak tahu langsung akan kewujudan model sedan Perodua ini. Sehinggalah pihak Perodua mula membangunkan model ini dikilang mereka yang bertempat di Sungai Choh.


Model sedan Perodua ini dibina di atas platform Axia dan rekabentuk badan dan ruang kabin direka oleh anak-anak Perodua sendiri. Ini ialah model pertama Perodua menggunakan kepakaran rekabentuk tempatan secara seratus peratus.
Model sedan ini dibina dengan kandungan bahan tempatan yang sangat tinggi, malah antara yang tertinggi di kalangan kenderaan tempatan. Ia juga kemungkinan besar akan diambil oleh Daihatsu untuk dipasarkan di negara Asean yang lain – satu kebanggaan kerana Jepun mengambil model tempatan untuk dipasarkan dengan nama mereka. Oleh kerana ia diasaskan dari model Axia, secara logiknya, model sedan ini duduk di antara Axia dan Myvi. Dari segi harga, ia sepatutnya mencerminkan kedudukan model ini di dalam pasarannya. Admin yakin harganya akan berada dalam julat awal RM30,000 sehingga ke RM55,000 untuk varian paling premium. Model ini terletak di dalam kategori sedan Segmen A, dan sekarang ini, ia hanya ada Mitsubishi Attrage sebagai pesaing utama.

Ianya juga akan dikeluarkan dalam 4 jenis iaitu:

  • 1.0 liter transmisi manual 5-kelajuan
  • 1.0 liter transmisi automatik 4-kelajuan
  • 1.3 liter transmisi manual 5-kelajuan
  • 1.3 liter transmisi automatik 4-kelajuan



Ia juga terdapat dalam lima varian iaitu:

  • 1.0 liter Standard G (manual dan auto)
  • 1.3 liter Premium X (manual dan auto)
  • 1.3 liter Advance (auto sahaja)

Kedua enjin-enjin ini dihasilkan di kilang baharu Perodua/Daihatsu di Negeri Sembilan. Enjin 1.0 liter 1KR-VE VVTi ialah sama dengan enjin pada Axia. Enjin 1.3 liter 1NR-VE dwi VVT-i ialah enjin direct injection baharu dan sangat moden. Model ini dibina dengan objektif penggunaan bahan api serendah 22.9 km/l dan memenuhi ciri-ciri kenderaan Energy Efficient Vehicle (EEV) oleh MAI/MITI. Malah untuk variasi 1.3 Advance, ia datang dengan sistem Eco-Idle atau sistem Henti Melahu, di mana enjin akan mati sendiri bila berhenti di lampu merah atau bila kenderaan tidak bergerak, dan akan hidup semula secara automatik bila kaki mula menekan pedal pendikit. Tempat letak barang atau boot Perodua baharu ini ialah sebesar 508 liter. ia lebih besar dari boot Toyota Vios (506 liter), boot Nissan Almera (490 liter), boot Mitsubishi Atrage (450 liter) dan boot Proton Saga (413 liter). Cuma Honda City sahaja mempunyai boot yang lebih besar iaitu pada 536 liter. Walaupun boot Perodua ini besar, ia masih lebih pendek dari Mitsubishi Atrage. Paling penting, ia tidak nampak mempunyai ekor yang tebal atau panjang! Bukaan boot Perodua ini juga rendah dan lebar, memudahkan keluar masuk barang. Malah, penulis dengan mudah ditelan masuk!


Boot sebesar itu juga masih mampu menyorokkan sebuah tayar gantian bersaiz sebenar. Sayangnya, untuk mendapat boot sebesar itu, tempat duduk belakang model sedan ini sedikit menegak. Namun, ia tidak keterlaluan dan masih selesa. Paling penting, ruang lega kepala masih bagus untuk seorang penumpang setinggi 6 kaki. Bagi varian 1.0L, boot hanya boleh dibuka menggunakan kawalan jauh sahaja (remote). Untuk varian 1.3L, ada butang di pintu boot – lebih mudah.


Perodua menggunakan teknologi lampu dari jenis Light Guide untuk lampu belakang. Canggih! Lampu depan masih dari variasi halogen dengan reflektor biasa. Panel meter model ini juga nampak canggih dengan lampu LED dan skrin sesentuh yang besar bagi model Advance. Stereng sedan ini sama seperti Axia – tidak boleh dilaras. Ia menggunakan stereng berkuasa elektrik. Sedan ini ialah model Perodua yang pertama untuk mendapat pengiktirafan Asean NCAP 5-bintang, tetapi hanya untuk varian Advance kerana ia datang dengan kawalan kestabilan kenderaan atau VSC. Ia juga datang dengan kemudahan ISOFIX untuk kerusi bayi/kanak-kanak.


Sesi Pandu Uji:

Perodua sedan 1.0L manual

Pada mulanya, penulis beranggapan enjin 1.0L 3-silinder dengan 67hp dan 91Nm ini pasti bising seperti pada Axia. Rupanya tidak! Ia sudah hampir tidak kedengaran seperti sebuah enjin 3-silinder lagi, malah gegaran pun sangat berkurangan. Hanya bila dipaksa, ia mula terasa kasar.

Menarik apabila tork maksima boleh didapati dari kelajuan enjin 4,400 rpm. Ini membolehkan pemandu tidak perlu “meneran” enjin Perodua ini ketika memandu di jalan biasa, walaupun berbukit.

Pada pendakian bukit, secara jujur, penulis terkejut ia masih mampu memberi prestasi segar walaupun dengan dua orang di dalam. Dan halaju yang dicapai dalam litar pendek itu ialah melebihi 130 kmsj.


Sistem gantungan selesa dan sejak Myvi lagi, Perodua sebenarnya sudah pandai bermain dengan talaan sistem gantungan. Sedan ini walaupun selesa, ia tidak membuai secara berlebihan dan masih mudah dikawal. Bila dipaksa mengambil selekoh tajam, tayar hadapan akan menyasar ke hadapan atau “understeer” dengan mudah – selamat untuk pemandu biasa.

Untuk mereka yang mempunyai bajet terbatas, model ini sebenarnya tidak mengecewakan.

Perodua sedan 1.0L automatik

Penulis tidak sangka, walaupun automatik, dengan enjin sebesar 1.0 liter untuk membawa badan sedan ini, ia masih boleh memecut dengan lancar.

Pick-up atau pecutan awal terasa sedikit perlahan untuk beberapa saat kerana komputer transmisi diprogram untuk memberi fokus lebih kepada penjimatan bahan api. Selepas itu, ia terus memecut lancar.

Bermula dari cerun bukit, ia masih mampu mendaki dengan lancar dan senyap. Malah jika tidak diberitahu, penulis tidak akan percaya ia dijana oleh enjin 1.0 liter.

Perodua sedan Advance 1.3L automatik

Varian paling lengkap, ia semestinya lebih selesa dan prestasi enjin 1.3L 94hp dan 121 Nm sangat memuaskan.

Tork maksima masuk seawal 4,000 rpm, menjanjikan pemanduan yang lebih bersahaja, walapun ketika sedang mendaki.

Stereng berkuasa elektrik ini semakin berat bila kelajuan meningkat, tetapi feedback stereng terasa sedikit artificial atau palsu. Ini bukan masalah besar kerana sedan ini direka bukan untuk memuaskan nafsu serakah penggila kereta sport. Untuk pemandu biasa, mereka pasti tidak terasa apa pun, malah tidak faham kenapa ayat ini ditulis pun barangkali.

Kawalan Kestabilan Kenderaan atau Vehicle Stability Control (VSC) akan memotong kuasa enjin bila dirasakan pemandu hilang kawalan. Ujian yang dilakukan oleh penulis di kawasan skid-pad di litar tersebut mendapati ia sama dengan sistem yang digunakan pada Toyota, Honda dan Nissan. Bila tayar mula hilang cengkaman dalam selekoh laju, kuasa enjin dipotong dan ia memperlahankan kenderaan. Jika stereng disentap ke kiri dan ke kanan dalam halaju yang tinggi dari biasa, komputer akan memastikan VSC masuk awal untuk mengawal balik kestabilan kenderaan. Dalam erti kata lain, pemandu akan berasa lebih selamat dengan VSC ini.






Jadi, tunggu apa lagi? Dapatkan maklumat lanjut di cawangan Perodua berdekatan anda dan pastikan semasa sesi pelancaran nanti anda hadir dan boleh lah buat pandu uji kereta ini nanti.

Sumber: Careta

Related Posts

PANDU UJI PERODUA BEZZA 2016
4/ 5
Oleh

Subscribe via email

Like the post above? Please subscribe to the latest posts directly via email.