Ini merupakan laporan yang memberikan lebih banyak info berkenaan pelancaran Perodua Myvi generasi kedua yang dijangka dilancarkan pada tahun ini. Menurut laporan akhbar Harian Metro hari ini, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) akan melancarkan model Myvi yang dipertingkatkan dengan ciri baru berkuasa 1.3 liter dan 1.5 liter. Myvi baru versi 1.3 liter akan dilancarkan pada Mei ini manakala versi 1.5 pada Julai atau September depan. Beberapa perubahan besar telah dilakukan oleh Perodua terhadap Myvi 2011 yang membabitkan ruang dalaman (interior) dan luaran (exterior) berbanding model sedia ada, antaranya papan pemuka (dashboard) serba baru, reka bentuk lampu depan dan belakang baru, serta bampar depan dan belakang berwajah baru lebih sporty. Berbanding varian 1.3 liter, varian 1.5 liter bukan saja menawarkan enjin lebih berkuasa malah rekaan luaran lebih sporty dan bergaya. Menurut Perodua, beberapa jenis varian ditawarkan untuk model terbaru ini membabitkan transmisi automatik dan manual. Antara perbezaan ketara antara versi manual dan automatik ialah tuil gear automatik berada di atas dashboard (sama seperti Perodua Alza automatik) berbanding tuil gear manual yang masih di kedudukan bawah (lantai). Perubahan Myvi baru ini juga membabitkan saiznya yang dikecilkan sedikit berbanding model sekarang dan kusyen tempat duduk ditebalkan untuk lebih keselesaan penumpang. Harga bagi Perodua Myvi baru akan diumumkan oleh pihak Perodua sedikit masa lagi setelah mendapat kelulusan pihak kerajaan. Harga untuk versi 1.3 liter mahal sedikit daripada harga model sekarang, manakala versi 1.5 liter pula dijangka lebih rendah daripada model Perodua Alza. Perodua memaklumkan bahawa enjin 1.5 liter yang digunakan pada Myvi 1.5 merupakan enjin yang sama digunakan pada model Alza, menjadikannya lebih berkuasa dan menjimatkan penggunaan minyak. Perodua Myvi 2011 baru akan dimulakan pengeluarannya pada Mei di kilang Perodua di Sungai Choh, Rawang selepas pengeluaran bagi model sekarang dihentikan akhir bulan ini. Pengarah Urusan Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh dilaporkan berkata sebelum ini, model baru kereta kompak yang bakal diperkenalkan itu dijangka lebih popular daripada barisan model paling laris sedia ada iaitu Myvi, Alza dan Viva. Sama ada benar atau tidak kenyataan penuh yakin itu, Perodua mempunyai alasan yang kukuh untuk mencipta satu lagi rekod dalam sejarah industri automotif negara bermula Mei depan.
p/s: Sekarang kereta Perodua Myvi memang lebih luas tetapi untuk keluaran 2011, ianya akan dikecilkan sedikit. Apakah penyebab utama ianya dikecilkan? Adakah untuk menjimatkan kos atau kecil lebih sporty???
PERODUA MYVI 1.3 & 1.5 LAUNCH?
4/
5
Oleh
ProtonCLUB