Thursday 18 June 2015

PROTON BEKERJASAMA DENGAN SUZUKI JAPAN



PROTON Holdings Bhd, unit DRB-HICOM Bhd, dan Suzuki Motor Corp of Japan memeterai Memorandum Persefahaman (MOU) dan perjanjian pelesenan untuk membentuk perkongsian strategik jangka panjang dengan kemungkinan membangunkan sebuah kereta kompak.

Pengerusi Proton, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, butiran terperinci perkongsian strategik itu akan dimuktamadkan tahun depan.

"Kami merasakan bahawa kami perlu belajar dan bekerjasama dengan syarikat ini kerana ia mempunyai teknologi bagi kereta kompak dan kecil," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis permeteraian itu di Shah Alam, hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapha Mohamed dan Duta Jepun ke Malaysia, Makio Miyagawa.

Bekas perdana menteri itu berkata, beliau menjangka Proton berupaya menyumbang dari segi mengurangkan kos Suzuki dengan menjenamakan semula model sedia ada sebelum menimbang kemungkinan membangunkan bersama model-model baharu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Abdul Harith Abdullah, berkata kerjasama itu merangkumi empat bahagian utama -- produk, teknologi, pekerja dan pasaran.

Beliau berkata, kerjasama itu akan membolehkan Proton memperoleh akses kepada model, platform, komponen powertrain dan teknologi automotif Suzuki.

"Suzuki kemudiannya akan menyediakan bantuan teknikal khusus bagi produk dan skop yang dipilih.

"Fasa pertama projek itu dijadualkan memulakan pengeluaran dalam tempoh 16 bulan akan datang dan pengeluaran akan dibuat di kilang Proton Tanjung Malim," katanya.

Abdul Harith berkata Suzuki memiliki teknologi dan kepakaran tinggi dalam menghasilkan segmen enjin lebih kecil terutamanya dalam kategori segmen A dan B yang akan melengkapkan Pelan Produk Jangka Panjang Proton.

Beliau berkata, kerjasama itu juga sejajar dengan Dasar Automotif Negara kerana Proton terus membangunkan dan menghasilkan produk dengan ciri-ciri yang memenuhi standard dan keperluan antarabangsa.

"Suzuki, sebagai rakan kongsi strategik asing kepada Proton, akan menyediakan peluang kepada Proton untuk berkembang di peringkat antarabangsa dan memanfaatkan operasi Suzuki di seluruh dunia," katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir berkata, terserahlah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyelesaikan kemelut berhubung 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

"Tidak mengapalah kalau dia hendak buat, tetapi dalam masa yang sama benda yang tidak baik kita ceritakanlah," katanya apabila ditanya mengenai janji Najib untuk selesaikan kemelut 1MDB selewatnya hujung tahun ini.

Sementara itu Dr Mahathir juga berkata, terpulanglah kepada pihak yang menyatakan bahawa kejatuhan ringgit disebabkan oleh kritikan beliau terhadap kerajaan.

"Saya dedah benda yang tak kena, benda yang kena saya tak merungut," tegasnya. - Bernama

Related Posts

PROTON BEKERJASAMA DENGAN SUZUKI JAPAN
4/ 5
Oleh

Subscribe via email

Like the post above? Please subscribe to the latest posts directly via email.